Monday, December 23, 2013

Perlu kuat

aku asyik berkata tentang kuat
kuat sini, kuat sana

yang mana, hakikatnya
kuat itu sememangnya memerlukan kuat

sekolah dunia ini hebat
sylibus yang akan belajar esok hanya akan tahu esok
tidak ada istilah sedia atau tidak
kau kena hadap
kau kena belajar
kau kena kuat
perlu, kuat.

pantas, nurul.
jangan nanti masa tinggalkan kau
belajar. hadap. kuat. bertindak.

aku perlu kuat.
aku kuat.
Allah, kuatkan aku.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Friday, November 29, 2013

Tanah ini

Setiap kali aku jejak di tanah ini, sentiasa ada rasa jiwa yang berbeza.
Aku ke sini lagi. Menjauhi simpul tali yang aku belum nampak ruang lerainya.
Aku tak mungkin lari. Itu bukan apa yang telah aku diajar selama ini.
Lari bukan solusi.

Dan nah, aku mendaki ke sini. Ke tanah yang sering menyamankan hati.
Setidaknya bunyi sunyi ini beda.
Hijau yang ditatap mata ini tenang.

Aku cuma mohon.
Moga aku dibuka mata, ditunjuk jalannya.

Tanah ini yang sering buat aku senyum.
Yang sentiasa ada cerita berbeza.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Monday, October 14, 2013

Kematian aku?

Memang semua boleh kata, mati itu pasti.
Memang semua boleh kata, kita jumpa nanti di syurga.
Memang semua boleh kata, taknak masuk neraka.
Memang semua boleh kata, amal kita akan dihisab.
Memang semua boleh kata, nanti menjawab dengan Mungkar dan Nangkir.
Memang semua boleh kata, macam mana nanti bila aku dah tak ada ye?

Tapi kita selalu lupa, macam mana rasanya nyawa mahu dicabut?
Bila waktunya kita menghembus nafas akhir?
Husnul khatimah atau suul khatimah kah kita?
Cukup beratkah timbang amal kita?
Buku kanan lebih tebal atau buku kiri?
Bermanfaatkah kita kepada agama?
Sudahkah kita lunaskah tujuan wujudnya kita di dunia, menjadi khalifah dan abid?
Cukupkah sumbangan pada ummah?
Bila nafas sudah di hujung, kita takut meninggalkan dunia atau takut mengadap kenyataan di alam sana?

Bersediakah engkau nurul?
Kalau sekejap saja lagi nyawa kau direntap?
Kalau engkau tak sempat pun mencapai angan-angan kau?
Kalau nanti kau ditanya mana sumbangan kau?
Kalau kau ditanya, ada atau tidak usaha kau membina Islam kembali?
Bagaimana hutang piutang kau?

Aku tak tahu bila aku akan diambil semula oleh Dia.
Tapi yang pasti, aku ada rasa takut itu.
Takut berdepan dengan 'kenyataan dan kebenaran' itu nanti.
Tunjuk aku jalan.
Aku si jahil dan daif.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Sunday, September 29, 2013

Guru?

Seorang sahabat pernah berpesan pada aku bila aku tanyakan perihal 'sekolah bisnes' kepada dia.
Kata dia, engkau hanya boleh belajar dengan pengalaman. Tak ada sekolah yang akan ajarkan engkau semua itu.

Dan momen ini.
Aku terasa sungguh banyak yang telah 'guru' aku ajarkan.
Dan aku masih belajar.
Jiwa aku, terasa makin kental.
Semangat aku makin mudah memulih.
Keyakinan aku juga makin stabil.

Kerana aku,
Seteruk jatuh yang akan jadi,
Aku akan jatuh atas kedua kakiku sendiri.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Monday, September 9, 2013

Dia

Kita pernah satu jiwa
Kita pernah berkongsi rasa
Kita pernah memaham sama kita

Aku tak pasti waktunya bila
Kita hilang jiwa dan rasa
Jemari kita tidak lagi saling menggenggam
Getar jiwa aku tidak lagi menyentak hati engkau
Aku terpinggir dan meminggir

Rasa ini hanya kita yang tahu
Gembira duka lalu
Kita semat nun di kalbu

Aku tahu ini hanya rindu
Rindu pada masa yang lalu

Dan engkau,
Aku mahu gembira selalu
Bersama nyawa-jiwa-cinta anugerah tertinggi langit nan biru

Published with Blogger-droid v2.0.6

Thursday, August 29, 2013

Penafian?

Tahu tak. Bila sampai waktu yang kita sedar dengan yakin yang kita kena jalan ke depan dan bukan lagi duduk diam-diam di kerusi yang sama.
Dalam pada itu, bila kaki dah mula melangkah akan ada satu rasa hendak juga pandang ke belakang.
Sambil pandang kerusi lama yang sudah selesa pada kita sambil fikir langkah ini betul atau tidak.
Sambil cuba-cuba takutkan diri, boleh atau tidak.
Sambil dicuit-cuit kata hati sendiri, yakin atau tidak mahu berubah?
Tidak sayangkan kerusi lama?
Tidak takut cabaran baru?

Kau takut sebenarnya kan?
Hey hey come on Nurul...
Takkan kau takut nak mengejar jaya dan bahagia??

Published with Blogger-droid v2.0.6

Wednesday, July 31, 2013

Baik

Tak mungkin aku menjadi sempurna
Tak mungkin aku jadi yang terbaik
Tak mungkin. Tak mungkin.

Kerana aku cuma mahu jadi baik
Aku mahu jadi lebih baik
Bukan lebih baik dari dia dan engkau
Tapi lebih baik dari aku yang semalam
Aku tak mahu jadi si celaka

Mungkin, aku ini sememangnya lemah
Sememangnya jahil
Aku takkan mampu angkat senjata
Aku takkan mampu lantang juang bersuara
Lalu yang aku ada hanya ini
Mata yang melihat
Hati yang merasa
Akal yang menilai
Iman yang mentafsir
Kedua tangan ini aku jadikan senjata 

Lantas
Aku benar harap
Aku menjadi lebih baik
Aku menjadi lebih kuat
Sebagai muslim.
Supaya tidaklah aku menjadi sia-sia untuk agamaku.

Tuesday, July 30, 2013

Mampu

Sering-sering aku ungkap
Sering-sering aku sangsi
Sering-sering aku soal
Sering-sering juga aku goyang
Tentang itu
Tentang itu
Tentang mampu
Mampukah aku?

Dan setiap kali itu
Aku seolah dipujuk
Seolah didakap
Oleh surat cinta dari Allah

Ini bukan musibah, ini ujian
Aku di sini di bumi
Memang untuk diuji
Kau di sini memang untuk diuji
Kau di sini memang untuk diuji Nurul!!

Ingat tu.
Kau mampu
Kerana Allah pasti bantu
Kau mampu
Kerana Allah akan pandu

Pegang hati kau kuat-kuat
Erat-erat
Sampai kiamat
Untuk akhirat

Published with Blogger-droid v2.0.6

Friday, July 19, 2013

Susah

Orang selalu kata susah nak berubah
Tapi dalam tak sedar dia dah pun berubah
Kerana dalam dia menyusun kata susah itu, dia turut jadi berubah
Berubah yang mungkin elok, mungkin juga tidak

Apa nak disusah-susah
Susah itu kita yang menyusahkan diri
Jangan sebut-sebut susah itu ini, Nurul.
Kau kena syukur, itu yang sebetulnya.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Wednesday, June 19, 2013

pergi yang kembali

sebulan dua ini
aku mendengar sana dan sini
tentang hilang yang tak terganti
tentang pergi yang tak kembali

rasanya seperti
jiwa dibawa pergi
hati dibawa lari
nafas terhenti-henti
pejam tak mahu bangun lagi
itu sudah aku lalui

aku manusia, sama seperti mereka
hilang itu sama saja rasanya
bengkak dan sakit tidak terkata
merasa dunia tak punya rasa
kala aku tenggelam dalam duka
dunia berpusing seperti biasanya
sepertinya luka aku ini tiada apa
sepertinya pedih ini tidak ada makna

entah bila
aku jaga
dari lena
air mata aku seka
aku dikejutNya
rupanya aku lupa
aku ini hanya pinjaman di dunia
kau, kau, dia, dia juga sama
dia dipinjam untuk aku saja
dan bila saja sudah masanya
dia akan diambil semula oleh Pemiliknya
dia bukan diambil oleh orang mana-mana
dia bukan hilang tak tahu ke mana
tapi dia kembali, kembali, dia kembali pada Dia

dia bukan pergi
dia sebenarnya kembali
dan aku belajar berlapang hati
berdoa tanpa henti
semoga akan bertemu kembali
di syurga firdausi

dan kepada mereka yang merasa hilang
jangan lagi mengenang-ngenang
hapus pergi air mata yang selalu bergenang
kerana bila kita mengenang dia dengan senang
insyaAllah, kita bantu dia di sana tenang


Al-Fatihah untuk Uncle Bakar, Hj. Abu Bakar b. Sapuan (17Jun2013)

Tuesday, May 14, 2013

Kata & Kota

Ada sejenis manusia,
Bila berkata katanya mahu kota,
Tapi rupanya hanya dusta.
Bila bercerita,
Kononnya dialah yang paling derita,
Diletak segala silap pada bahunya,
Konon dia memang tidak guna.
Kalau satu kali, aku angguk percaya,
Tapi bila kali sudah tak terkira,
Aku mula jadi si syak wasangka.

Mungkin aku naif,
Mungkin dia begok,
Tapi yang pasti,
Rasa percaya itu sudah lari jauhhh.

Barangkali engkau lupa,
Mulut, lidah, bibir itu nanti akan berkata-kata di sana.
Dan janji Allah, Allah pasti kota.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Wednesday, May 8, 2013

hitam

langit hitam
air dari awan tak henti menangis
aku membungkam
mengenangkan hati yang dihiris hiris

semangat hambar
laju saja terbang melayang
hendak dikejar
sudah tak nampak bayang

aku jadi tak tentu
mencari mana pintu
rebah terduduk langsung berteleku

hari ini
hari ini
masa ini
banyak
banyak sungguh ajaran yang datang tak henti
aku belajar juga sedikit
tentang, lebih banyak
tentang perkara tak dijangka yang diingatkan oleh Dia

langit hitam itu rupanya meredupkan mata
tangis awan itu rupanya menyejuk bumi
aku sedikit bergaduh dengan rasa
aku tak mahu mati dengan hati sangsi

hidupnya aku kerana al-Khaaliq
belajarnya aku kerana al-Waliy
kuatnya aku kerana at-Tawwab
rezeki ini kerana ar-Razzaq

rapuh ini moga tidak luruh
ukhwah ini moga hingga Jannah



Thursday, April 11, 2013

Aku dan Parkinson

Aku anak ke-4 dari 5beradik. 4 lagi semuanya hero. Aku ada hubungan rapat dengan Parkinson. Kerana allahyarham apak, pesakit Parkinson. Seingat aku, aku tak ingat bila waktunya apak sihat. Sebab dalam memori yang aku ada, apak memang sakit. Jadi, aku menyesuaikan diri dengan situasi yang sedia ada. Begitu juga dengan adik aku. Tipulah kalau aku kata aku ok sepanjang masa. Ada saja moment-moment air mata, berontak, keliru dan macam-macam lagi. Dan aku rasa, hadirnya Parkinson dalam hidup keluarga kami telah banyak membentuk diri aku sekarang.

Setiap hari, apak ada jadualnya tersendiri. Dari bangun Subuh sampailah ke tidur malam. Belum lagi waktu tidur yang hanya mak saja yang lalui pengalaman tu. Zaman aku sekolah dulu, adalah zaman yang kondisi apak agak teruk. Pertuturan, emosi, pergerakan. Hanya dia yang lebih tahu apa yang dia rasa. Kami adik beradik semuanya masuk asrama dan tugas menjaga apak akan turun kepada yang ada di rumah dan bergilir-gilir waktu semua cuti. Oh, tapi kerana aku perempuan, ada masanya apak tak minta aku yang menjaga. Dan sebenarnya, waktu itu kami semua tenggelam dalam emosi masing-masing. Engkau-engkau. Aku-aku. Dan ajaibnya, walau kami tidak berapa bersatu hati, kami masih pulang ke rumah, tugas jaga apak dan makan bersama semeja.

Masa terus bergerak. Hubungan dalam keluarga memulih seiring usia yang bertambah. Ajaib kan? Cantik sungguh Allah membentuk hati-hati kami. Alhamdulillah. Dalam 2-3tahun sebelum apak pergi, keadaan apak bertambah bagus. Apak mula keluar sama-sama dengan kami ke shopping mall, pilih baju rayanya sendiri, makan di kedai sedap-sedap, pergi zoo, aquaria. Dan yang seronoknya, kami senang dapat parking sebab parking OKU hehehehehe. Kami juga jadi lebih prihatin. Setiap tempat yang hendak bawa apak, kena pastikan OKU Friendly. Sounds great kan? Baaanyakk sebenarnya tempat-tempat kita yang prihatin OKU. Beberapa hari lepas aku berbual dengan mak.
Aku kata, 'mak, bila tahun-tahun akhir apak dah ok, kita tak ingat dah kan masa yang teruk semua tu?'.
Dan mak angguk. Kata mak, 'Allah bagi dugaan punyalah hebat, tapi bila Dia bagi nikmat langsung kita lupa semua sakit kita'. Manis, kan?
Aku gembira bila nampak anak-anak atau isteri atau suami menolak wheelchair emak atau bapa. Kerana aku akan nampak manisnya bahagia hati-hati yang bersatu tu. Aku rindu apak, tapi aku tidak sedih. Kerana apak berada di tempat yang lebih baik dan layak, bersama Penciptanya.

Parkinson bukan sekadar menggeletar dan cakap tidak teratur.
Parkinson memberi dan mengambil lebih dari itu.
Parkinson menjadikan aku perempuan yang berdikari.
Parkinson menjadikan kami bertanggungjawab sepenuhnya atas tanggungjawab yang diberi.
Parkinson mengajar kami bahawa kasih sayang keluarga amat tinggi nilainya.
Parkinson mengajar aku supaya tidak persenda atau make joke penyakit-penyakit lain.
Parkinson memberi nilai kemanusiaan yang tinggi dalam diri kami.

Selamat Hari Parkinson Sedunia.

Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk apak, Muhammad Ghazali Zainuddin.

Tuesday, March 12, 2013

Kerna DIA

aku rapuh
tidak teguh
begitu ampuh
melihat guruh
jantung hampir luruh
fikiran jadi keruh
kalau kubiar boleh jadi bodoh

apa sedang aku tempuh
tidak boleh separuh-separuh
biar hampir lumpuh
moga aku sembuh
dan menjadi teguh

Published with Blogger-droid v2.0.6

Sunday, March 10, 2013

Berlawanan

hidup lawannya mati
gembira lawannya duka
sayang lawannya benci
cinta lawannya nestapa

aku menghitung kenangan
aku kira-kira detik tenang
aku bilang-bilang naik turun perasaan
dan aku cuba bernafas senang

ini aku
ini rasanya aku
tidak aku tahu rasanya dia
aku mahu kunyah rasa ini
supaya tidak berbuku di dasar
supaya larut elok tiap kali aku bernafas
aku kira-kira,
Allah menduga melalui apa saja
untuk aku ingat sentiasa
Dia adalah yang berkuasa atas segala
Dia memberi nyawa
Dia mengurnia gembira
Dia mampu atas apa saja

berlawan dengan pedang
berlawan dengan senapang
berkawanlah dengan si tenang

Published with Blogger-droid v2.0.6

Saturday, March 2, 2013

gadget

aku bukan penggila gadget.
malah, aku baru aja tahu yang sudah ada talifon yang boleh bawa masuk air.
mantap. mantap!

dalam pada itu..aku juga sebenarnya pengguna talifon pintar.
aku ada akses internet 24jam(kalau maxis tak buat perangai lah).
tapi talifon aku tidak lah canggih. game pun cuma boleh masuk 2-3, memori sendat.
pada awal-awal menjadi pengguna talifon pintar, aku jadi seorang yang tidak endah dengan dunia nyata aku. yang aku tahu adalah memandang talifon tak kira masa oleh kerana facebook yang sentiasa ada nitofication yang masuk. sekejap sekejap ketawa sorang. sekejap sekejap kerut dahi. sekejap sekejap geleng kepala. ketawa pulak. angguk angguk pulak. hm.

dan ketika tiba tiba fenomena Angry Birds melanda, aku lihat semua orang menunduk walaupun di meja itu penuh orangnya. sana sini orang menjadi sopan tidak bersuara kerana sibuk menggantikan batu lastik dengan burung. entah bila, aku mula perasan keadaan yang makin tidak sihat ini. sana sini orang berkomunikasi di dunia maya. walaupun hakikatnya duduk sebumbung saja.
sudah hilangkah kosa kata?
pemalu sangatkah untuk bersuara?

aku nekad, buang facebook dari talifon. 'cuba dulu, nanti boleh ambik semula' kata aku. ajaibnya, aku lebih tenang. aku lebih okay. aku rasa...............normal. aku pernah terbaca, satu kata kata 'gadget dan teknologi ni bagus sebenarnya. sebab dapat mendekatkan yang jauh, tapi buruknya, menjauhkan yang dekat'.
aku bukan anti-teknologi. cuma aku nampak banyak juga salahguna yang berlaku.
apa sudah jadi dengan ziarah menziarahi?
apa sudah jadi dengan menjaga hati?
apa sudah jadi dengan memberi kasih sayang sesama kita?
apa sudah jadi dengan aku? kita?

kita ini mudah sungguh lupa.
betapa sayangnya sahabat pada kita.
betapa kasihnya saudara kepada saudaranya.
betapa mudahnya kasih dan sayang ini terguris kerana lupanya kita pada mereka.
betapa kita begitu ambil mudah untuk berkata terima kasih dan apa kabar.
apatah lagi untuk kita menyiram benih hubungan itu dengan maaf dan kata pujuk.
sememangnya kita mudah sungguh lupa.
ada hati yang menunggu kabar dari kita.
ada jiwa yang rindu bersilaturrahim dengan kita.

dulu-dulu, aku pernah baca satu buku.
pasal jati diri. dia kata, adakah kita nak jadi hamba perasaan?
aku kata, tak.
jadi, aku sentiasa cuba ingatkan diri aku supaya tak jadi hamba perasaan.
(ok, kadang-kadang tewas jugak hehe)
sekarang dah beza. ada tambahan.
aku tak mahu jadi hamba teknologi.
aku mahu mengawal teknologi, bukan dikawal.

Wednesday, February 27, 2013

Tiga ringgit

aku tak punya ramai teman
siapa kenal aku, pasti setuju
bukan tak ada, tapi tak ramai
jadi aku biasanya ingat siapa kawan aku
maklum lah, tak ramai

dan dalam tidak ramai itu
yang boleh aku kata 'teman jiwa' lagi lah tak ramai
oleh kerana tak ramai
aku akan cuba jaga ikatan yang ada sebaik termampu

dan aku juga jadi ingat kepada satu kawan
yang aku panggil abang
yang aku sayang seperti kawan
yang entah mana menghilang
yang pernah beri tiga ringgit untuk aku makan

semoga engkau elok-elok saja, Yus.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Friday, February 22, 2013

negatif

benar sungguh kan
hidup penuh dengan kejutan
yang selalunya kan menyentap perasaan
menjadilah kita terbang dalam lamunan

melihat hidup yang indah ini tidaklah mudah
kerana apa yang bakal jadi esok akan buat kita gundah
kita mungkin jadi si berani atau si pasrah
salah langkah ayunan boleh buat kita lelah

Morrie kata, boleh saja setiap hari kita bersedih tangis
tapi,
tapi,
tapi selepas itu air mata kita hapus tepis
hidup sepenuhnya seperti biasa
kasih sayang kongsi bersama

aku tak menangis hari ini
tapi aku tak mampu tipu yang aku sedih
sedih yang benar sedih
sedih ini besar
sedih ini benar
sedih ini untuk aku
sedih ini untuk dia
sedih ini untuk mereka
dan lebih buat aku sedih
aku tak mampu melihat jalannya
aku tak mampu pujuk-pujuk hati aku

Nurul, jadi bijaksana.
macam mana?
pandai-pandailah kau rencana.
kalau aku mahu jadi begini sahaja?


Tuesday, February 19, 2013

ingatkanlah aku

aku menjadi sedar tentang aku yang mudah lupa
betapa hidup ini sungguh pendek untuk dibazirkan
betapa aku ada banyak perkara indah yang perlu aku endahkan
juga pemurahnya Dia memberi aku peluang dan ruang ini

aku membaca Tuesday With Morrie
baru sahaja di halaman empat puluh dua
namun aku tak mampu teruskan. aku sebak. dadaku sesak.
apak.
ya, apak.
aku jadi ingat pada apak.

Morrie dan apak, betapa mereka bergelut dengan kelemahan diri
bila Allah tarik perlahan-lahan nikmat yang pernah Dia beri
tangan yang berusaha memegang sudu. kaki yang berusaha solat berdiri.
lebam dan luka kerana mahu juga mengguna kederatnya sendiri
tergolek, jatuh, hantuk sana sini

itu semua takkan mungkin aku rasa
kerana aku hanya faham dengan deria mata
mata aku yang melihat tak mungkin boleh rasa

aku tak mampu undur masa
aku mohon apak bahagia dengan apa yang aku usaha
aku tahu dia rasa semua

Morrie kata, gunakan masa yang ada ini sebaiknya
dan aku
siapa saja disamping aku, aku akan usaha
kalau pun bukan terbaik bagi mereka, cukuplah yang sebaiknya dari aku
kerana menjadi bahagia itu nikmat dunia
memberi bahagia pula nikmat sini dan sana


ramai lagi yang aku ada
aku mahu menjadi bahagia
aku mahu memberi bahagia
aku mahu mengguna semua nikmatNya


Tuesday, February 5, 2013

Nyorok-nyorok

kau pernah main nyorok-nyorok?
yang ada sorang kena cari semua orang dan yang paling akhir dapat jumpa tu kira juara la
tahu? tahu ke?

bagus kalau tahu.
tapi ini versi orang dewasa la.
bila yang 'sorang' tu dapat jumpa kau dan kau jadi macam iklan Zalora yang jerit 'AAAAAAAAAAAAAaaaaa..!!!!' tu.
aku betul-betul menjiwai iklan tu sekarang.
fuh.
aku fikir akulah juara.

aku mahu jadi sesumpah.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Monday, February 4, 2013

mimpi

aku cukuplah terganggu
bila ada saja mimpi yang datang
mimpi tentang orang yang engkau dah buang
engkau dah bagus-bagus letak orang dalam fail 'buang'
dan entah dari mana, dalam mimpi dia datang

dan aku jugak sedang cuba
mengajar diri aku untuk lawan dengan mimpi
aku kena yakinkan yang itu hanya mimpi
mimpi yang suka menipu aku di realiti



berhenti bermimpi, Nurul.
mimpi itu pernah meremuk hati.
larilah dalam realiti
pergi, lari!

Thursday, January 31, 2013

Usia

di usia ini aku masih seorang pelajar
belajar untuk mengajar
belajar untuk diajar oleh hidup
Tuhan itu sungguh manis dan indah
dihantar tiga jiwa untuk jiwa aku menjadi gundah
gundah mengawal amarah
gundah menyusun nafas resah

lantas aku beri kata kepada jiwa
ini ajaran untuk aku
belajarlah
menjadi yang sepatutnya
belajarlah
minta jalan kepada yang membukanya
belajarlah
mengenal usia yang sepatutnya jadi lebih bijaksana
belajarlah
menjadi yang indah

ini memang hanya usia
dan aku tak mahu menjadi durjana

Published with Blogger-droid v2.0.6

Friday, January 25, 2013

Senda gurau

hidup ini hanya senda gurau. fakta.
dan hakikatnya manusia ini, suka akan jenaka.
entah aku sudah kurang nilai humor atau aku jadi jelak.
dengan jenaka suparman atau sukarman. aku mula rasa, aku perlu menjadi lebih serius.
lebih serius berfikir.
lebih serius dalam ketawa.
lebih serius dalam berkata-kata.
lebih serius dalam meluah rasa.
bukan aku menidakkan senda gurau, kerana senda gurau itulah yang sedang aku lalui ini. hidup.
dan aku tak mahu dipersenda. cukuplah hakikat yang tak mampu aku nafi ini, itulah katanya Dia.

jangan aku lemas dalam senda gurau ini.

Published with Blogger-droid v2.0.6