Thursday, April 11, 2013

Aku dan Parkinson

Aku anak ke-4 dari 5beradik. 4 lagi semuanya hero. Aku ada hubungan rapat dengan Parkinson. Kerana allahyarham apak, pesakit Parkinson. Seingat aku, aku tak ingat bila waktunya apak sihat. Sebab dalam memori yang aku ada, apak memang sakit. Jadi, aku menyesuaikan diri dengan situasi yang sedia ada. Begitu juga dengan adik aku. Tipulah kalau aku kata aku ok sepanjang masa. Ada saja moment-moment air mata, berontak, keliru dan macam-macam lagi. Dan aku rasa, hadirnya Parkinson dalam hidup keluarga kami telah banyak membentuk diri aku sekarang.

Setiap hari, apak ada jadualnya tersendiri. Dari bangun Subuh sampailah ke tidur malam. Belum lagi waktu tidur yang hanya mak saja yang lalui pengalaman tu. Zaman aku sekolah dulu, adalah zaman yang kondisi apak agak teruk. Pertuturan, emosi, pergerakan. Hanya dia yang lebih tahu apa yang dia rasa. Kami adik beradik semuanya masuk asrama dan tugas menjaga apak akan turun kepada yang ada di rumah dan bergilir-gilir waktu semua cuti. Oh, tapi kerana aku perempuan, ada masanya apak tak minta aku yang menjaga. Dan sebenarnya, waktu itu kami semua tenggelam dalam emosi masing-masing. Engkau-engkau. Aku-aku. Dan ajaibnya, walau kami tidak berapa bersatu hati, kami masih pulang ke rumah, tugas jaga apak dan makan bersama semeja.

Masa terus bergerak. Hubungan dalam keluarga memulih seiring usia yang bertambah. Ajaib kan? Cantik sungguh Allah membentuk hati-hati kami. Alhamdulillah. Dalam 2-3tahun sebelum apak pergi, keadaan apak bertambah bagus. Apak mula keluar sama-sama dengan kami ke shopping mall, pilih baju rayanya sendiri, makan di kedai sedap-sedap, pergi zoo, aquaria. Dan yang seronoknya, kami senang dapat parking sebab parking OKU hehehehehe. Kami juga jadi lebih prihatin. Setiap tempat yang hendak bawa apak, kena pastikan OKU Friendly. Sounds great kan? Baaanyakk sebenarnya tempat-tempat kita yang prihatin OKU. Beberapa hari lepas aku berbual dengan mak.
Aku kata, 'mak, bila tahun-tahun akhir apak dah ok, kita tak ingat dah kan masa yang teruk semua tu?'.
Dan mak angguk. Kata mak, 'Allah bagi dugaan punyalah hebat, tapi bila Dia bagi nikmat langsung kita lupa semua sakit kita'. Manis, kan?
Aku gembira bila nampak anak-anak atau isteri atau suami menolak wheelchair emak atau bapa. Kerana aku akan nampak manisnya bahagia hati-hati yang bersatu tu. Aku rindu apak, tapi aku tidak sedih. Kerana apak berada di tempat yang lebih baik dan layak, bersama Penciptanya.

Parkinson bukan sekadar menggeletar dan cakap tidak teratur.
Parkinson memberi dan mengambil lebih dari itu.
Parkinson menjadikan aku perempuan yang berdikari.
Parkinson menjadikan kami bertanggungjawab sepenuhnya atas tanggungjawab yang diberi.
Parkinson mengajar kami bahawa kasih sayang keluarga amat tinggi nilainya.
Parkinson mengajar aku supaya tidak persenda atau make joke penyakit-penyakit lain.
Parkinson memberi nilai kemanusiaan yang tinggi dalam diri kami.

Selamat Hari Parkinson Sedunia.

Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk apak, Muhammad Ghazali Zainuddin.