Friday, November 29, 2013

Tanah ini

Setiap kali aku jejak di tanah ini, sentiasa ada rasa jiwa yang berbeza.
Aku ke sini lagi. Menjauhi simpul tali yang aku belum nampak ruang lerainya.
Aku tak mungkin lari. Itu bukan apa yang telah aku diajar selama ini.
Lari bukan solusi.

Dan nah, aku mendaki ke sini. Ke tanah yang sering menyamankan hati.
Setidaknya bunyi sunyi ini beda.
Hijau yang ditatap mata ini tenang.

Aku cuma mohon.
Moga aku dibuka mata, ditunjuk jalannya.

Tanah ini yang sering buat aku senyum.
Yang sentiasa ada cerita berbeza.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Monday, October 14, 2013

Kematian aku?

Memang semua boleh kata, mati itu pasti.
Memang semua boleh kata, kita jumpa nanti di syurga.
Memang semua boleh kata, taknak masuk neraka.
Memang semua boleh kata, amal kita akan dihisab.
Memang semua boleh kata, nanti menjawab dengan Mungkar dan Nangkir.
Memang semua boleh kata, macam mana nanti bila aku dah tak ada ye?

Tapi kita selalu lupa, macam mana rasanya nyawa mahu dicabut?
Bila waktunya kita menghembus nafas akhir?
Husnul khatimah atau suul khatimah kah kita?
Cukup beratkah timbang amal kita?
Buku kanan lebih tebal atau buku kiri?
Bermanfaatkah kita kepada agama?
Sudahkah kita lunaskah tujuan wujudnya kita di dunia, menjadi khalifah dan abid?
Cukupkah sumbangan pada ummah?
Bila nafas sudah di hujung, kita takut meninggalkan dunia atau takut mengadap kenyataan di alam sana?

Bersediakah engkau nurul?
Kalau sekejap saja lagi nyawa kau direntap?
Kalau engkau tak sempat pun mencapai angan-angan kau?
Kalau nanti kau ditanya mana sumbangan kau?
Kalau kau ditanya, ada atau tidak usaha kau membina Islam kembali?
Bagaimana hutang piutang kau?

Aku tak tahu bila aku akan diambil semula oleh Dia.
Tapi yang pasti, aku ada rasa takut itu.
Takut berdepan dengan 'kenyataan dan kebenaran' itu nanti.
Tunjuk aku jalan.
Aku si jahil dan daif.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Sunday, September 29, 2013

Guru?

Seorang sahabat pernah berpesan pada aku bila aku tanyakan perihal 'sekolah bisnes' kepada dia.
Kata dia, engkau hanya boleh belajar dengan pengalaman. Tak ada sekolah yang akan ajarkan engkau semua itu.

Dan momen ini.
Aku terasa sungguh banyak yang telah 'guru' aku ajarkan.
Dan aku masih belajar.
Jiwa aku, terasa makin kental.
Semangat aku makin mudah memulih.
Keyakinan aku juga makin stabil.

Kerana aku,
Seteruk jatuh yang akan jadi,
Aku akan jatuh atas kedua kakiku sendiri.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Monday, September 9, 2013

Dia

Kita pernah satu jiwa
Kita pernah berkongsi rasa
Kita pernah memaham sama kita

Aku tak pasti waktunya bila
Kita hilang jiwa dan rasa
Jemari kita tidak lagi saling menggenggam
Getar jiwa aku tidak lagi menyentak hati engkau
Aku terpinggir dan meminggir

Rasa ini hanya kita yang tahu
Gembira duka lalu
Kita semat nun di kalbu

Aku tahu ini hanya rindu
Rindu pada masa yang lalu

Dan engkau,
Aku mahu gembira selalu
Bersama nyawa-jiwa-cinta anugerah tertinggi langit nan biru

Published with Blogger-droid v2.0.6

Thursday, August 29, 2013

Penafian?

Tahu tak. Bila sampai waktu yang kita sedar dengan yakin yang kita kena jalan ke depan dan bukan lagi duduk diam-diam di kerusi yang sama.
Dalam pada itu, bila kaki dah mula melangkah akan ada satu rasa hendak juga pandang ke belakang.
Sambil pandang kerusi lama yang sudah selesa pada kita sambil fikir langkah ini betul atau tidak.
Sambil cuba-cuba takutkan diri, boleh atau tidak.
Sambil dicuit-cuit kata hati sendiri, yakin atau tidak mahu berubah?
Tidak sayangkan kerusi lama?
Tidak takut cabaran baru?

Kau takut sebenarnya kan?
Hey hey come on Nurul...
Takkan kau takut nak mengejar jaya dan bahagia??

Published with Blogger-droid v2.0.6

Wednesday, July 31, 2013

Baik

Tak mungkin aku menjadi sempurna
Tak mungkin aku jadi yang terbaik
Tak mungkin. Tak mungkin.

Kerana aku cuma mahu jadi baik
Aku mahu jadi lebih baik
Bukan lebih baik dari dia dan engkau
Tapi lebih baik dari aku yang semalam
Aku tak mahu jadi si celaka

Mungkin, aku ini sememangnya lemah
Sememangnya jahil
Aku takkan mampu angkat senjata
Aku takkan mampu lantang juang bersuara
Lalu yang aku ada hanya ini
Mata yang melihat
Hati yang merasa
Akal yang menilai
Iman yang mentafsir
Kedua tangan ini aku jadikan senjata 

Lantas
Aku benar harap
Aku menjadi lebih baik
Aku menjadi lebih kuat
Sebagai muslim.
Supaya tidaklah aku menjadi sia-sia untuk agamaku.

Tuesday, July 30, 2013

Mampu

Sering-sering aku ungkap
Sering-sering aku sangsi
Sering-sering aku soal
Sering-sering juga aku goyang
Tentang itu
Tentang itu
Tentang mampu
Mampukah aku?

Dan setiap kali itu
Aku seolah dipujuk
Seolah didakap
Oleh surat cinta dari Allah

Ini bukan musibah, ini ujian
Aku di sini di bumi
Memang untuk diuji
Kau di sini memang untuk diuji
Kau di sini memang untuk diuji Nurul!!

Ingat tu.
Kau mampu
Kerana Allah pasti bantu
Kau mampu
Kerana Allah akan pandu

Pegang hati kau kuat-kuat
Erat-erat
Sampai kiamat
Untuk akhirat

Published with Blogger-droid v2.0.6

Friday, July 19, 2013

Susah

Orang selalu kata susah nak berubah
Tapi dalam tak sedar dia dah pun berubah
Kerana dalam dia menyusun kata susah itu, dia turut jadi berubah
Berubah yang mungkin elok, mungkin juga tidak

Apa nak disusah-susah
Susah itu kita yang menyusahkan diri
Jangan sebut-sebut susah itu ini, Nurul.
Kau kena syukur, itu yang sebetulnya.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Wednesday, June 19, 2013

pergi yang kembali

sebulan dua ini
aku mendengar sana dan sini
tentang hilang yang tak terganti
tentang pergi yang tak kembali

rasanya seperti
jiwa dibawa pergi
hati dibawa lari
nafas terhenti-henti
pejam tak mahu bangun lagi
itu sudah aku lalui

aku manusia, sama seperti mereka
hilang itu sama saja rasanya
bengkak dan sakit tidak terkata
merasa dunia tak punya rasa
kala aku tenggelam dalam duka
dunia berpusing seperti biasanya
sepertinya luka aku ini tiada apa
sepertinya pedih ini tidak ada makna

entah bila
aku jaga
dari lena
air mata aku seka
aku dikejutNya
rupanya aku lupa
aku ini hanya pinjaman di dunia
kau, kau, dia, dia juga sama
dia dipinjam untuk aku saja
dan bila saja sudah masanya
dia akan diambil semula oleh Pemiliknya
dia bukan diambil oleh orang mana-mana
dia bukan hilang tak tahu ke mana
tapi dia kembali, kembali, dia kembali pada Dia

dia bukan pergi
dia sebenarnya kembali
dan aku belajar berlapang hati
berdoa tanpa henti
semoga akan bertemu kembali
di syurga firdausi

dan kepada mereka yang merasa hilang
jangan lagi mengenang-ngenang
hapus pergi air mata yang selalu bergenang
kerana bila kita mengenang dia dengan senang
insyaAllah, kita bantu dia di sana tenang


Al-Fatihah untuk Uncle Bakar, Hj. Abu Bakar b. Sapuan (17Jun2013)