Monday, January 12, 2015

hati-hati, hati

kata Quran, hati ini seketul daging
kata buku, hati ini seketul darah
kata orang-orang, hati ini amat sukar difahami
apatah lagi mahu dikawal begitu begini

ada masa kau rasakan hati kau sudah lurus,
tapi rupanya sudah salah masuk simpang
ada masa kau rasakan kau memandu hati dengan cermat,
tapi rupanya tanpa sedar kau melanggar lopak dan tersimbah ke pejalan kaki

benar.
dalam perjalanan memandu hati sendiri ini,
kadang kita tak nampak hati-hati lain yang telah kita langgar saja tanpa rasa
mana hati kita? mana?
mana?

makin sukar rupanya perjalanan hati ini.
makin lama kita cuba memandu hati,
rupa-rupanya lebih lagi perlu cermatnya.
kerana hati yang salah simpang sering saja berkawan dengan lidah yang mudah sungguh gelincir mencedera hati lain.

kau kena ingat pada Si Pemegang Hati,
jangan kau mudah-mudah rasa besar hati,
jangan kau mudah-mudah meremuk hati lain,
kerana kau tiada kuasa,
kau bukan hakim.
kau hanya hamba.